2008年6月11日星期三

SEJARAH SEKOLAH


SJK (C) Ming Terk terletak di Pekan Gelang Patah lebih kurang 30 kilometer dari Bandaraya Johor Bahru. Sekolah ini telah ditubuhkan pada 4 April 1932 di atas tapak tanah yang dikurniakan oleh Mendiang Lee Kwang Chen. Pada masa itu murid-murid tidaklah ramai bilangannya dan sekolah ini berupa sebuah bangunan atap.
Oleh kerana bilangan murid yang bertambah dari masa ke semasa, maka sebuah bangunan baru telah dibina pada tahun 1939. Bangunan ini mengandungi 7 buah bilik darjah, sebuah dewan dan pejabat. Pada tahun 1967 pihak Lembaga Jemaah Pengurus sekali lagi membuat permohonan bantuan modal yang kemudiannya telah diluluskan oleh kerajaan sebanyak RM23,000.00 bagi membina 6 buah bilik darjah, sebuah bilik muzik, tandas dan pejabat. Pelaksanaannya telah dibuat di dalam dua peringkat. Projek ini telah siap keseluruhannya pada tahun 1969.


Anjung bilik darjah dan sebuah gelanggang permainan bola keranjang telah siap dibina pada tahun 1978. Memasang pagar di sekeliling padang, memasang lampu dan kipas angin, membina stor dan meratakan padang permainan dilaksanakan pada tahun 1979.



Pada tahun 1980, pihak Lembaga Jemaah dan PIBG sekolah telah mengambil keputusan untuk membina sebuah dewan yang baru. Cadangan ini telah menerima sokongan yang baik dari masyarakat setempat. Kempen kutipan derma pun dilancarkan dan bantuan modal daripada kerajaan sebanyak RM10,000.00 diluluskan maka projek ini pun dilaksanakan dengan menelan belanja sebanyak RM150,000.00. Dewan baru ini kemudiannya telah dirasmikan pembukaannya oleh YB Dato’Mohamad Bin Haji Rahmat, Menteri Penerangan Malaysia pada tanggal 9 April 1982.


Memandangkan bilangan murid yang semakin bertambah dari tahun ke tahun dan kenderaan utama mereka ke sekolah ialah basikal, maka pihak sekolah telah menyediakan mereka sebuah tempat letak basikal yang khas pada akhir tahun 1991. Menggantikan tiang-tiang siling bangunan yang lama dan mengecat semula yang menelan belanja RM25,000.00 dilaksanakan setelah menerima bantuan modal dari kerajaan pada tahun yang sama. Pihak Lembaga dan PIBG sekolah sentiasa prihatin terhadap keceriaan sekolah ini dan pada tahun 1993 bangunan kantin telah diperbesarkan dan bangunan asrama guru dan tandas diperbaiki dan pagar di kawasan sekeliling juga telah diganti baru berserta dengan sebuah bilik komputer yang dilengkapi dengan 10 buah komputer dan alat penghawa dingin dipasang di bilik tersebut dan di pejabat Guru Besar. Disamping itu juga pejabat Guru Besar dan Perpustakaan telah dipasang dengan carpet untuk menambah keselesaan. Pada tahun 1994, Lembaga sekali lagi mengeluarkan peruntukan bagi menggantikan system saliran paip di kawasan sekolah dan menggantikan tangki air besi dengan fiber agar sekolah ini mendapat bekalan air yang cukup dan bersih. Dan pada tahun 1995, sebuah bangunan yang mengandungi bilik Sains, bilik SPBT, bilik Seni, bilik rehat dan bilik percetakan telah siap dibina.
Dengan bilangan penduduk di kawasan Gelang Patah yang kian bertambah sejak kebelakangan ini, pihak sekolah telah membuat keputusan untuk membina sebuah bangunan baru empat tingkat untuk menampung murid yang lebih ramai. Pada 30 Julai 2000, Jemaah Pengurus dan PIBG telah mengadakan Konsert Amal Power Hitz untuk kutipan derma bagi pembinaan bangunan baru ini. Sebanyak RM1.65 juta telah berjaya dikutip untuk tabung pembinaan bangunan ini.
Pada 28 Disember, 2001. pihak sekolah telah mengadakan hari yang bersejarah untuk Upacara Pecah Tanah bagi bangunan baru ini. Pembinaan bangunan ini telah bermula dan dijangka akan siap pada bulan Oktober 2002.
Oleh sebab kos pembinaan yang tinggi, jumlah wang yang berjaya dikutip tidak mencukupi. Jemaah Pengurus Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah mengadakan satu Konsert Amal lagi untuk tabung pembangunan bangunan baru ini pada 8hb Oktober 2002.
Pada 4hb September 2003, aktiviti kebudayaan yang bernama Pesta Tanglung telah diadakan di kawasan sekolah untuk tujuan kutipan derma. Aktiviti tersebut mendapat sambutan hangat dari pelbagai pihak. Majlis Perasmian Bangunan Baru telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan Malaysia pada bulan 23 Mei 2004. Aktiviti kebudayaan Pesta Tanglung diadakan sekali lagi pada 19hb September 2006 atas permintaan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru.
Setakat ini murid-murid di sekolah ini adalah seramai 866 orang dari Tahun 1 hingga Tahun 6 yang mengandungi 23 buah bilik darjah dengan 41 orang tenaga pengajar termasuk Guru Besar dan 3 orang Guru Penolong Kanan . Hanya seorang Pembantu Tadbir yang menguruskan segala dokumen pentadbiran sekolah dengan adanya bantuan seorang PAR. Pengawal Keselamatan pula adalah dari X-Scan Arm Guard yang dibekalkan oleh pihak Jabatan melalui skim pengswastaan.
Memandangkan bilangan murid kian bertambah disebabkan projek pembangunan yang berlangsung sejak kebelakangan ini, atas usaha Jemaah Pengurus Sekolah, PIBG dan Persatuan Murid Tua SJK (C) Ming Terk, satu blok bangunan baru empat tingkat yang mengandungi 28 buah bilik darjah bersama sebuah kantin akan dibina. Projek tersebut dianggar akan menelan pembelanjaaan yang tinggi iaitu sebanyak RM2500000.00. Urusan mengutip dana untuk mengisi tabung pembangunan akan dilaksanakan pada 4hb November 2007 dengan mengadakan konsert amal anjuran bersama Nanyang Siang Pao.

没有评论: